Jika
kita makan di Restoran Islam, didinding selalunya tergantung ayat 1000
dinar yang tulisannya dapat kita baca dari jauh. Ayat 1000 dinar ini
adalah sebahagian dari ayat kedua dan sebahagian dari ayat ketiga Surah
At-Talaq.
Ramai
orang menganjurkan supaya mengamalkan ayat ini untuk memperolehi
kejayaan atau keuntungan. Ramai peniaga menampalkan pelekat ayat 1000
dinar ini di premis perniagaan mereka, dengan harapan supaya perniagaan
bertambah maju. Ramai pula yang menghafal ayat ini untuk dibaca
dimasa-masa yang sesuai, seperti selepas solat.
Memang
kita tidak boleh menafikan kelebihan ayat 1000 dinar. Malangnya,
pendekatan sebahagian orang mengenai ayat ini, adalah sesat dan tidak
betul. Jika kita lihat terjemahan ayat ini, ia mengandungi dua
pengajaran iaitu supaya kita bertaqwa dan bertawakkal. Oleh itu,
pendekatan yang betul untuk mengamalkan ayat 1000 dinar ini ialah dengan
bertaqwa dan bertawakkal. Kenalah kita pelajari bab bertaqwa dan
bertawakkal.
Kalau
menampalkan pelekat ayat 1000 dinar ini di premis perniagaan, tapi
solat tidak dikerjakan, amalan tidak jujur dalam perniagaan terus dibuat
atau sebagainya, ini tidak bermakna kita mengamalkan ayat 1000 dinar.
Tujuan
menampalkan pelekat itu hanyalah sebagai cara supaya kita selalu
beringat untuk bertaqwa dan bertawakkal. Begitu juga kalau kita baca
ayat ini beribu-ribu kali dalam sehari, sedangkan kita tidak bertaqwa
dan bertawakkal, itu juga bukan cara yang betul mengamalkan ayat 1000
dinar.
Sebenarnya
ayat seribu dinar adalah sebaik-baik segala doa untuk segala masalah.
Banyak doa-doa lain untuk perlindungan diri dari musibah dan ketika
susah. Tetapi mampukah kita menghafal kesemua doa-doa tersebut. Hanya
segelintir diantara kita yang mampu menghafal banyak doa-doa yang khusus
untuk sesuatu tujuan.
Tetapi
ayat seribu dinar merangkumi kesemuanya untuk mendapatkan rezki yang
banyak, melindungi diri dari bala dan musibah serta perlindungan dari
syaitan, jin dan iblis. Di kala kita dalam kesusahan yang seperti
dialami oleh pelajar-pelajar di Mesir yang terkini terkepung. Ada
kalanya kita terlupa, apakah doa yang hendak dibaca. Yang sebaik-baiknya
ayat seribu dinar yang mudah dibaca dan dihafal sewaktu dalam keadaan
darurat.
Ini
ayat seribu dinar namanya, ayat ini diamal oleh seorang hamba yang
mendapat hikmat ini dari Nabi Allah Khidhir ketika belayar di laut
dengan berkata berkat amal ayat ini hamba itu mendapat kemuliaan dan
menjadi raja.
Ayat
ini mengandungi seribu faedah jikalau di amalkan tiap-tiap kali lepas
sembahyang sebanyak tiga kali, insya’Allah akan beroleh seribu faedah,
barang siapa yang beramal ayat ini Allah taala akan mengadakan baginya
jalan keluar dari segala kesulitan, Allah ta’ala akan memberi rezeki
yang banyak dengan tidak di sangka-sangka dan Allah Ta’ala menyampaikan
segala hajatnya, dengan beramal bersungguh-sungguh dan yakin kepada
Allah, terlindung segala daripada bala di darat dan di laut.
Jikalau
dibaca ayat ini kepada orang yang sedang sakit sebanyak 3 kali dan
dihembuskan kepada si pesakit itu dan di jampi pada air sebanyak 3 kali
diberi minum, insya’Allah si pesakit akan sembuh.
Jikalau
mendapat sebarang kesusahan yang amat berat, kesusahan kerana kezaliman
orang-orang tamak, oleh peperangan yang ditimbulkan oleh musuh-musuh
Negara, beramallah selalu dengan ayat ini selepas daripada sembahyang
lima waktu, mudah-mudahan segala kesusahan mendapat perlindungan dari
Allah Ta’ala.
Jikalau
masuk berperang menentang musuh, tiada binasa oleh terbakar, jika di
pukul dengan besi tiada lut dan tiada binasa dari sebarang benda yang
bahaya, hendaklah beramal ayat ini dan bertawakkal kepada Allah, baca
ayat ini sesudah sembahyang lima waktu, baca ketika hendak tidur tiga
kali, baca ayat ini ketika hendak keluar rumah sekurang-kurangnya tiga
kali.
Selepas
mengetahui hikmat ayat ini, eloklah dihafalkan dan fahamkan maknanya
sekali sebagai bekalan kita ketika menghadapi segala kesusahan dan
kesengsaraan yang tidak kita jangkakan. Jazakallah Khairan.
Maksudnya:
Dengan
nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Dan sesiapa yang
bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan
laranganNya), nescaya akan dijadikan baginya jalan keluar (dari segala
perkara yang menyusahkannya).
Serta
memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas hatinya. Dan
(ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah
cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya
Allah tetap melakukan segala perkara yang di kehendakiNya. Allah
telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar